Wednesday 5 December 2018

BBM3410/18 : Video Tanpa Wajah

Assalamualaikum dan salam sejahtera ✌

Yeayyyyy akhirnya aku berjaya sampai ke perkongsian yang terakhir ni. Aku ni bukan apa, teruja sebab aku ingat tak berjaya nak siapkan tugasan ni 😂 ternyata, kuat jugak aku ni ye ? ceyhhhhhh

Okay, perkongsian terakhir aku kali ni berkenaan dengan Video Tanpa Wajah.

Berapa ramai dekat sini yang tahu apa itu Video Tanpa Wajah, angkat tangan 🙋 ?
Hahaha okay, aku tak nampak, tapi aku respek kalau ada yang angkat tangan. Aku akan beritahu sedikit tentang Video tanpa Wajah ni.

Video Tanpa Wajah ni merupakan satu jenis video yang dibikin tanpa memperlihatkan sebarang wajah pun dalam video tu. Video ini biasanya memfokuskan satu objek sahaja. Contohnya macam video dekat bawah ni :


Seperti video one shot tadi, kreativiti tanpa batasan amat diperlukan dalam pembikinan video ini. Ini kerana segala tindak tanduk hanya boleh dilihat berdasarkan pergerakan dan bukannya ekspresi wajah.

Okay geng, sekian sahaja perkongsian aku kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋

BBM3410/18 : Video One Shot

Assalamualaikum dan salam sejahtera ✌

Orang putih cakap macam ni, 2 down, 2 more to go ! 😂

Seterusnya, aku nak kongsikan tentang Video One Shot.
Yayayayayaaya Aku tahu aku dah pernah kongsikan tentang ni tapi, apa boleh buat. Aku cuma menurut perintah je. Macam mana aku kena redooo, macam tulah jugak kamu yang membaca ye 😅

Video One Shot ni adalah satu proses rakaman video yang dibuat dari satu sudut sahaja. Maknanya dekat sini, kamera yang digunakan untuk merakam, takkan bergerak walupun sedikit. Video jenis ini memerlukan daya kreativiti mereka yang terlibat dalam proses tersebut. Dekat bawah ni adalah contoh video one shot:


Bila buat video one shot ni, ada layer atau lapisan yang biasa digunakan. Layer ni berfungsi untuk memudahkan penonton faham dengan video yang dibuat. Layer ni merangkumi satu layer, dua layer dan tiga layer yang paling banyak. Lebih daripada tiga layer tidak digalakkan sebab ini menyebabkan penonton tak tahu nak fokus pada apa.


Contoh Video One Shot, Single Layer

Contoh Video One Shot, Two Layer


Contoh Video One Shot, Three Layer



Okay geng,  sekian sahaja perkongsian aku kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋

BBM3410/18 : Papan Cerita

Assalamualaikum dan salam sejahtera ✌

Okay, macam yang aku dah cakap dalam entri sebelum ni, aku akan sambung lagi tiga perkongsian, betul ? Redooo je lah ye 😑

Perkongsian aku kali ini berkisar tentang Papan Cerita @ Storyboard lahh kata orang putih 📜

Contoh Papan Cerita

Papan Cerita membawa maksud satu siri lakaran yang dibuat untuk menggambarkan turutan isi kandungan bagi skrin multimedia. Ia juga boleh katakan sebagai susunan grafik dalam bentuk ilustrasi atau imej yang dipersembahkan bagi tujuan pra-tayangan gambar bergerak, animasi, grafik bergerak atau media interaktif. Papan cerita juga merupakan satu susunan visual yang membolehkan pengaturcara perisian menjalankan tugas pengarangan dengan licin dan teratur.

Dalam pembikinan sesuatu papan cerita, elemen-elemen dekat bawah ni perlu diambil kira:
  • Suatu lakaran atau lukisan di atas skrin, halaman atau bingkai.
  • Warna, penempatan, dan saiz grafik.
  • Teks sebenar di atas skrin, halaman atau bingkai.
  • Narration 
  • Animation
  • Video
  • Sound
Papan cerita ni ada macam-macam jenis. Antaranya :
  • Papan cerita Produksi (Production Storyboard).
  • Papan cerita Lembaran Konsep atau Lukisan (Conceptual Sheet Or Painting Storyboard).
  • Papan cerita TV (TV Storyboard).
  • Papan cerita Animatik (Animatic Storyboard).
  • Papan cerita Digital (Digital Storyboard).

Okay, geng. Sekian sahaja perkongsian aku kali ni.
Sampai jumpa lagi 👋

BBM3410/18 : Asas Grafik

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua ✌

Aku harap orang yang baca blog aku ni sihat dan berada dalam jagaan Allah selalu 😇 Jangan sedih dan teruskanlah hidup macam biasa sebab tinggal lagi dua minggu je lagi nak habis 💪

Aku nak kongsi dengan kamu semua tentang Asas Grafik hari ni. Akan ada tiga tajuk lagi yang akan menyusul selepas ni. Tunggu dan lihat ye.

Dalam entri aku sebelum ni, aku dah pernah cakap tentang Asas Grafik ni, betul ? Hari ni cuma nak beri pengukuhan je dekat kamu semua 😁 Supaya kamu semua lebih faham tentang apa yang dipanggil Asas Grafik.



Secara umumnya, bila disebut tentang Asas Grafik, orang akan cakap tentang C. A. S. P. E. R. Benda ni adalah pegangan asas tentang grafik. Tapi, Prof ajar aku 5 asas sahaja dan aku rasa benda ni lebih mudah untuk kamu semua faham. 5 asas tu adalah :

1. Kesesuaian

Kesesuaian ni merupakan hubungan yang lahir di antara elemen-elemen visual apabila elemen-elemen tersebut berfungsi bersama sebagai satu kesuluruhan. Dengan kata lain, elemen-elemen seperti penghurufan, warna, bahan-bahan lain hendaklah saling melengkapi di antara satu dengan yang lain untuk mengukuhkan idea dasar yang hendak disampaikan.

2. Keseimbangan

Rekaan sesuatu visual juga perlu seimbang, di mana elemen grafik disusun supaya beratnya seimbang dalam setiap bahagian reka bentuk. Dengan cara ini, mata rasa selesa memandang. Terdapat 2 jenis seimbang iaitu seimbang formal dan seimbang tidak formal. Seimbang formal bermakna pembahagian yang sama antara dua bahagian visual samada kiri dengan kanan atau atas dengan bawah. Contoh: jongkang-jongkit yang mempunyai bebanan yang sama jenis di kedua-dua belah. Seimbang tidak formal bermakna pembahagian yang tidak sama rata antara item kiri dengan kanan atau atas dengan bawah. Contohnya, jongkang-jongkit yang masih seimbang tetapi ianya bukan beban atau bahan yang sama jenis, cuma beratnya sahaja yang sama. Dalam rekaan visual penggunaan penglihatan mata adalah cara untuk menentukan keseimbangan.

3. Mudah

Rekaan haruslah memungkinkan kefahaman yang cepat dan jelas. Cara yang terbaik ialah dengan mempersembahkan satu perkara pada satu masa. Idea yang banyak dalam satu visual akan mengelirukan. Visual yang mengandungi sedikit elemen adalah lebih baik , kerana mudah dilihat. Hadkan perkataan-perkataan yang ditayangkan kepada 15 atau 20 patah perkataan sahaja dalam satu visual tayangan. Lukisan hendaklah jelas dan terang. Garisan luar (outline) hendaklah dibuat dengan garisan tebal. Garisan-garisan kecil harus ditinggalkan kerana garisan-garisan kecil yang terlalu banyak akan mengelirukan.

4. Teks

Setiap visual biasanya tidak hanya dipenuhi dengan gambar dan lukisan. Bagi memantapkan maksud, elemen verbal seperti perkataan dan ayat disatukan. Pakar dalam bidang ini berpendapat bahawa penggunaan tajuk, soalan dan lain-lain perkataan akan dapat meningkatkan keberkesanan sesuatu paparan visual. Ada tujuh perkara yang perlu diberi pertimbangan iaitu:

  • Stail huruf
  • Bilangan stail huruf
  • Huruf besar dan huruf kecil
  • Warna huruf
  • Saiz huruf
  • Jarak antara huruf
  • Jarak antara baris.
5. Warna

Tujuan warna dalam grafik adalah untuk memudahkan atau meningkatkan kejelasan visual. Lazimnya perbezaan warna antara latar (elemen negatif) dengan visual (elemen positif) akan menimbulkan kontras yang baik.

Sekian sahaja perkongsian aku kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋

Wednesday 21 November 2018

BBM3410/18 : Hidup Penuh Misteri 💀

Assalamualaikum dan selamat sejahtera ✌

Aku sekarang dalam keadaan sihat je dan aku harap orang yang sudi baca blog aku ni berada dalam keadaan sihat walafiat semuanya 💚 mereka yang tak baca tu...bukanlah aku doakan kamu semua tak sihat, cuma tu lah. Siapa suruh tak baca blog aku 😎

Entah kenapa hari ini, malam ini, dengan di selubungi kedinginan yang agak luar biasa cehhh wahhh, aku tiba-tiba teringat pada waktu Prof beritahu dalam kelas yang dia bukan sejenis homo sapiens yang berani sangat 😅 

Oleh hal yang demikian, aku rasa nak kongsi lagi cerita seram aku 👻

Kali ini aku nak kongsikan kisah dekat sini. 
Dan bila aku kata sini, maknanya di sinilah. Di Universiti Putra Malaysia.
Atau lebih tepat lagi, di kolej kediaman aku, Kolej Serumpun.
Kolej keberapa atau blok mana, aku rasa aku tak perlu nyatakan kot 😇 

Kejadian Pertama
Okay. Kejadian ini berlaku masa aku dalam semester tiga. Aku duduk dalam bilik yang mampu menempatkan empat orang pelajar. Siapa yang duduk Kolej Serumpun ni tahulah macam mana keadaan bilik tu. Bilik tu ada pembahagi dekat tengah-tengah. Macam dalam gambar ni 👇


Haaa macam tu lah. Pembahagi ni berfungsi untuk memisahkan ruang dalam bilik tu. Sebelah kanan untuk dua orang, macam tu jugaklah untuk sebelah kiri. Dalam bilik aku masa tu cuma ada tiga orang pelajar je sebab senior yang duduk satu bahagian dengan aku dah habis belajar. Bertuahlah aku masa tu sebab aku duduk sorang je dekat bahagian tu 😂

Ceritanya bermula bila satu malam tu, masa tu semua orang ada dekat bilik. Aku tengah cakap dekat telefon dengan kawan aku dan dua orang rakan sebilik aku dekat bahagian sebelah tengah buat aktiviti biasa mereka, berborak kosong 😆

Tiba-tiba...

"tok! tok! tok!"

Kami bertiga ni jenis tak kunci pintu bilik sebelum tidur sebab bilik kami tu sering menjadi kunjungan ramai pihak 😁 Bila dengar je ada orang ketuk pintu, secara automatik, Ikin (rakan bilik aku) pun cakap, "Masuklah". Tapi, "orang" dekat luar tu tak masuk pun. Kami pun abaikan je dan buat tak tahu.


Tiba-tiba...

"tok! tok! tok!"

Sekali lagi ketukan berbunyi dengan agak kuat. Kali ni, Nad (rakan bilik aku lagi satu) pula cakap "Masuklah". Dia fikir mungkin kawan dia yang datang. Tapi hasilnya masih sama. Tak ada sesiapa pun yang masuk. Beberapa minit tak ada sebarang bunyi ketukan pun dan tiba-tiba...

"tok! tok! tok!"

Masa ni aku dah jadi hilang sabar sebab ketukan tu kuat sangat. Aku pun bangun dari tempat duduk aku dan berjalan ke arah pintu. Masa tu aku masih dengar bunyi ketukan tu lagi. Aku pun terus buka pintu dan ...

🍃

Tak ada sesiapa pun dekat luar tu kecuali angin sejuk yang menampar-nampar pipi aku. Aku pandang Ikin dan Nad dekat dalam dan mereka berdua cuma mampu cakap "Tutuplah pintu tu balik, Dee" dengan muka yang kalau kau toreh pun tak ada darah yang keluar 😅. Aku pun tutup pintu. Bila aku duduk semula, ketukan tu bunyi balik. Kali ni, kami bertiga tak cakap apa-apa dan diam je. Malas dah nak layan 😅


Hahahaha kisah kedua nantilah aku sambung.
Sekian sahaja perkongsian aku kali ni.
Sampai jumpa lagi 👋

Tuesday 20 November 2018

BBM3410/18 : Kami, Tadaa Production ! 💚

Assalamualaikum dan salam sejahtera ✌

Aku rasa bukan aku seorang je yang terkejar-kejar nak siapkan blog ni 😅 harapnya pembaca aku ni fahamlah apa yang aku cuba sampaikan.

Aku ada cakap tentang One Shot Video sebelum ni, kan ? Aku lupa nak perkenalkan ahli produksi aku cehhh. ahahahahah
Nama produksi yang kami pilih ialah "Tadaa Production" 💥
Kami ada sepuluh orang ahli semunya.
Lima jejaka, lima gadis.

Tadaa Production

Aku akan kenalkan seorang demi seorang ye 😋 Ini adalah sesi mari mengenal ahli Tadaa Production 😂

Abir Wardati

Ikhmal Shaffiq

Thalha

Atiqah

Shuhada

Murnirah

Solihin

Hanif

Hussein

Dan aku. haaa malas nak letak gambar sendiri.

Okay, sekian sahaja perkongsian kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋

BBM3410/18 : Kisah One Shot 📹

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua ✌

Aku harap semuanya sihat belaka ye. Okay, aku tak nak cakap banyak sangat dalam pengenalan kali ni. Aku nak terus ke tujuan je. hahahahaha Blog aku, kaannnn 😂 Aku nak kongsi dengan pembaca ni tentang One Shot Video

Apa One Shot Video ni ? 

Mengikut apa yang diterangkan oleh Prof. Normaliza, One Shot Video adalah sejenis video yang dirakam dari satu arah sahaja. Haaaaa. Maknanya dekat sini, dalam video yang dibuat tu cuma ada satu pemandangan sahaja dan kameranya tak boleh digerakkan. Contoh yang terbaik adalah seperti video dekat bawah ni...

 Lazy Songs oleh Bruno Mars

Kami satu kelas disuruh untuk buat video macam ni. 😱 mana maunyaaaa Prof ! *reaksi awal-awal masa diarahkan buat video ni. Mulalah hati ni 'menghadiahkan' pahala yang banyak untuk Prof 😂

Nak dijadikan cerita, kesemua lapan kumpulan berjaya menyiapkan One Shot Video ni dengan jayanya.

Aku selitkan untuk pembaca blog aku (*kalau ada😅) tengok hasil kerja kami semua.

Aspalela oleh Jebat Production


Syinta Gila oleh Mawar Production


Nakal, Nakal, Nakal oleh Produksi Satu Kosong


Seminggu Berhari Raya oleh Tadaa Production


Aci Aci Buka Pintu oleh Melur Production


Tamparan Wanita oleh Akasia


Hajat oleh Panglima Awang


Lemak Manis oleh Nafi Studio

Haaaa..
Itulah dia hasilnya. Mawar Production dikatakan menghasilkan video yang baik kualitinya. Kiranya macam kumpulan terbaiklah gitu 😊 Tahniah ye Mawar Production.

Okaylah, sampai sini sahaja perkongsian aku kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋

Thursday 15 November 2018

BBM3410/18 : Kisah Adobe Photoshop 📷

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua 😄

Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat-sihat sahaja ye. Aku dilanda demam minggu ini dan itu betul-betul merosakkan minggu kesepuluh aku 😷 mana taknya, dengan nak kena buat video lagi, lax lagi, PITA yang entah apa-apa tu lagi 😓 Doakan aku tabah untuk terus menempuh minggu yang akan datang ye geng 😉

Okay, memandangkan minggu ni tiada kelas amali, Prof kami yang meletup-letup 💥 tu suruh kami semua buat kerja dalam talian. Kami semua perlu buat satu video yang menerangkan proses menggunakan Adobe Photoshop.

Hasilnyaaaaa .....



Inilah dia cara paling mudah untuk buat kalender dengan menggunakan Adobe Photoshop. Abaikan bunyi yang pelik-pelik tu ye 😷

Sekian sahaja perkongsian kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋

Saturday 10 November 2018

BBM3410/18 : Perjalanan Tanpa Penghujung

Assalamualaikum dan selamat sejahtera 💗

Apa khabar pembaca sekalian 😊 aku harap, anda semua baik-baik sahaja memandangkan kita semua pun baru je habis cuti pertengahan semester. Harapnya anda semua ni tak homesick lagi 😂

Okay geng. Nampak tak tajuk aku tu ? haaaaa. Janganlah pelik sangat dengan tajuk tu ye. Aku nak cakap tentang hidup ni. Apa-apa pun, hidup mesti diteruskan. Cuti dah habis, kan. Jadi kerja pun mulalah balik. Kenalah fikir tentang assignment yang banyaknya mengalahkan gunung Kinabalu di Sabah tu 🗻 

Tugasan pertama yang aku terima adalah berkenaan dengan subjek kegemaran. Hahahaha tak lain tak bukan, Multimedia dalam Bahasa 😅 Selain daripada kena muat naik sepuluh gambar di Instagram, aku perlu buat satu lagi tugasan kerana rakan-rakan yang lain mohon agar kelas pada hari Isnin akan datang dibatalkan dan diadakan secara dalam talian sahaja. 

Oleh hal yang demikian, kami semua diarahkan oleh 'mem besar' untuk tengok rancangan disaluran tv al-Hijrah, segmen Bijak Siber 📺 



Rupa-rupanya, Prof kita ni masuk tv 😍 Hebat betullah Prof aku yang satu ni. 👍 sikit. Hahahahaah Patutlah beria suruh tengok rancangan tu. Ada udang di sebalik batu rupanya 🍤. Jadi, aku kena ambil gambar dia dan muat naik dalam Instagram. Itulah kerjanya.

Okaylah geng. Sekian sahaja perkongsian aku kali ini. Sampai jumpa lagi 👋

Wednesday 31 October 2018

BBM3410/18 : Teknologi, Mudah @ Susah ?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua 😊

Seperti biasa, aku harap anda semua berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja sekarang ni. Maklumlah, sekarang ni musim hujan. Cuaca pun tak menentu ⛆ Apalah nak jadi dengan bumi kita ni. Kita doakan yang terbaiklah ye. Dunia dah nak akhir zaman 😟. Istighfar sekejap. Takut pula bila cakap macam ni.

Bila tengok pada tajuk aku kali ni, aku rasa ada yang sudah boleh agak tentang apa yang akan aku kongsikan. Terutamanya, rakan kos aku. Ya, aku nak kongsi tentang Adobe Photoshop 👏 Aku tak tahu apa pendapat rakan-rakan aku yang lain tentang teknologi yang satu ni, tapi ini pendapat aku.



Aku setuju dengan apa yang Prof cakap. Mahir atau ada ilmu dalam hal-hal teknologi seperti memang boleh buat resume kita nanti nampak cantik. Satu nilai tambah bila kita mahir dalam teknologi yang bukan semua orang tahu macam mana nak gunakannya. Walau bagaimanapun, aku rasa agak tertekan sewaktu aku nak menyiapkan amali kali ini. Aku memang pernah dengar tentang photoshop ni, cuma aku tidak pernah terfikir yang prosesnya akan jadi sesulit ini 😓 Susahnya tu Ya Allah minta ampun ! *kan dah terkeluar ayat sinetron.

Semua ni bermula bila aku dan rakan-rakan ditugaskan untuk menyiapkan kalender meja tahun 2019. Bunyi macam, "eleyh, kalender je. Kacang". Tapi bila aku mula nak install adobe photoshop ni, 💥 kepala aku. Namun begitu, aku masih mampu meneruskan hidup aku dengan bantuan insan tersayang dan  💪 berjaya menggunakan adobe photoshop ni.

Alhamdulillah aku dapat hasilkan juga kalender walaupun mungkin tak cantik macam rakan-rakan yang lain.

Sekian sahaja perkongsian aku kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋

BBM3410/18 : Herba - Kulit Kayu Manis

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 😄

Hola rakan pembaca semua. Sihat ke tidak tu ? Harapnya anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat supaya boleh terus baca blog aku yang tak seberapa ni 😊

Untuk perkongsian bebas kali ni, aku nak kongsikan sesuatu yang bermanfaat sikit. Sebabnya aku rasa sia-sia je kalau orang baca blog aku tapi tak dapat apa-apa input. Buang masa sangat, kan ? Sebab tu lah aku nak kongsikan sesuatu dekat pembaca aku ni. Mudah-mudahan dapat beri sedikit manfaat untuk anda 😁

Topik yang aku pilih adalah berkenaan dengan herba. Ini semua sebabnya bila aku mengemas dapur tadi, aku terjumpa satu jenis herba. Nanti aku beritahu herba apa ye. Okay, bila bercakap tentang herba, dalam kepala mesti fikir untuk kesihatan, kan ? Itulah yang biasa kita fikir. Herba ni biasanya terdiri daripada tumbuhan yang lazimnya berkhasiat dan ada nilai yang tersendiri. Herba yang aku nak kongsikan khasiatnya dengan pembaca sekalian ialah "Kulit Kayu Manis".


Kulit Kayu Manis @ Cinnamon

Kulit Kayu Manis atau lebih mesra dengan nama cinnamon ni berasal dari Sri Lanka. Herba jenis ini berfungsi sebagai rempah, sama ada dalam masakan atau minuman. Mesti ada yang tak percaya bila aku cakap ada orang yang minum herba ni, kan ? Dah nama pun herba, orang yang tahu khasiatnya je lah yang minum 😂

Antara kegunaan kulit kayu manis ni adalah :

  • Sebagai bahan menumis dalam masakan.
  • Sebagai penambah wangian pada air gula semasa merebus.
  • Bahan asas kepada pencuci mulut barat; cinnamon roll dan pai epal.
  • Bahan wangian.
  • Herba tradisional yang sering dicampur dengan madu, bagi merawat penyakit radang, sendi, kulit, jantung dan perut kembung.


Haaaaaa.
Itulah dia antara khasiat kulit kayu manis ni. Yang heboh anda semua sebut cinnamon tu, kenalah tahu khasiatnya juga. Jangan bangga sangat sebut cinnamon tapi tak tahu khasiatnya. Rugi, kan ?  😄

Okaylah. Sekian sahaja perkongsian aku dalam entri kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋

Sunday 21 October 2018

BBM3410/18 : Bahasa Jiwa Bangsa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 😃

Apa khabar pembaca blogku yang setia 😂 *ketawa sendiri sambil tanya setia ke ? Hahaha jangan ambil hati ye. Banyak ke kerja nak kena buat tu ? Faham je. Dah tahun akhir ni, memanglah bermacam-macam kerja nak kena siapkan, ye dok ?  Bak kata Prof, redha je lah ye 😆

Okay. Entri kali ini aku nak kongsikan dengan pembaca aku ni tentang tugasan yang aku dapat pada minggu keenam.  Sesuai dengan tajuk aku tu, kami ditugaskan untuk membuat satu video tentang simpulan bahasa. Bukan satu, bukan dua atau lima tetapi sepuluh ye. Aku ulang, SEPULUH. Mesti anda tertanya macam mana video yang perlu kami buat, kan ? Mudah je sebenarnya. Prof. suruh kami ni ambil gambar yang menerangkan makna simpulan bahasa yang kami pilih. Kami perlu pastikan yang Prof. faham gambar yang kami ambil. 

Nak tengok gambar tu ? hahaha aku memang nak bagi tengok lah ni. Dekat bawah ni aku tunjuk gambar berserta simpulan bahasa yang sudah kami pilih.




Cakar ayam
by Apit


Kaki botol
by Hanif & Thalha


Durian runtuh
by Apit


Sebatang kara
by ehemm


Peras ugut 
by Thalha & Hussin


Makan angin
by Etot, Abir, Shu dan Ehemm


Pilih kasih
by Murni, Abir, Shu dan Ehemm

hahahah tapi aku tak tunjuk semua dekat dalam ni. Kalau berminat nak tengok, anda semua boleh klik sini https://youtu.be/ykVIqOfbM5s 🎬 

Walau bagaimanapun, aku rasa tugasan kali ini agak bermakna. Sebagai generasi yang boleh dikategorikan sebagai generasi muda, seni bahasa yang satu ni tak wajar dilupakan. Kalau ditanya, entah-entah budak satu kos aku ni belum tentu semua boleh jawab tentang makna simpulan bahasa. Kalau yang mudah-mudah tu mungkin boleh, tapi kalau bagi yang pelik sikit je. Haa mulalah semua jadi ahli nujum *termasuklah yang menulis ni punn 😅

Sekian sahaja perkongsian aku untuk entri kali ni.
Sampai jumpa lagi 👋

Thursday 11 October 2018

BBM3410/18 : 19 Hari Untuk Rasa Bahagia

Assalamualaikum dan salam sejahtera rakan pembaca!

Buat apa malam-malam ni ? PITA ? makan ? tidur ? atau mungkin ada yang menelaah pelajaran*rajin betul anda ni. Atau mungkin sedang membaca blog aku yang tak seberapa ni. Hahahahaha berangan pula nak ada pembaca setia.

Okaylah. Memandangkan aku terlebih masa pula malam ni. Jadi, aku nak tulis satu entri berkenaan buku yang aku dah baca. Buku ni telah diberi kepada aku oleh seorang insan yang aku rasa tak perlu disebutkan namanya. Judul buku ni adalah 19 Hari Untuk Rasa Bahagia nukilan The Faiz Ibrahim. 


Inilah rupa buku tu. Aku senang membaca tulisan-tulisan The Faiz Ibrahim ni. Pada aku, apa yang dia tulis, sesuai dengan jiwa aku yang nak kata keras tapi serapuh biskut ni. Bila baca, selalu terkena batang hidung sendiri. Janganlah anda fikir ada orang yang keluar daripada buku ni dan ketuk hidung aku pula tau ! Kepala anda semua ni bukan boleh percaya sangat *sambil gelak sampai keluar air mata. Baca sinopsis dekat belakang buku pun, aku dah rasa menarik.

"Ramai manusia di dunia ini,
hidup tapi mati jasadnya.
Dan ramai juga yang hidup,
tapi kosong jasadnya.
Cebisan cerita ini aku
hadiahkan buat mereka,
yang mahu hidup lebih nyata,
dan lebih bahagia dari sebelumnya".

Jadi, apa yang dia kongsi dalam buku ni ?? Penulis ni kongsikan cara mudah untuk dia yang jiwanya sukar untuk rasa bahagia agar dapat rasa nikmatnya bahagia tu dalam masa 19 hari.

Hari 1 : Fikir yang elok-elok.
Hari 2 : Meluahkan perasaan.
Hari 3 : Perkara baik perlu masa.
Hari 4 : Memberi dan bertambah.
Hari 5 : Jangan fikir perkara yang tidak patut kau fikir.
Hari 6 : Lihat semula.
Hari 7 : Jangan salahkan kau.
Hari 8 : Ingat yang lama, cuma jangan terperangkap.
Hari 9 : Dunia sementara.

Hari 10 : Jangan putus harapan.
Hari 11 : Jangan salahkan Tuhan.
Hari 12 : Bukan kau sahaja.
Hari 13 : Ujian tanda sayang.
Hari 14 : Kekerapan.
Hari 15 : Hari teruk.
Hari 16 : Cerita, rasa, lalui berbeza.
Hari 17 : Yang pergi.
Hari 18 : Less is more.
Hari 19 : Manisnya dugaan.

Haaa itulah dia cara yang The Faiz Ibrahim ni sarankan untuk kita. Setiap hari tu ada huraiannya. Cuma aku tak berapa rajin nak tulis dalam ni sebab aku nak sarankan anda semua baca sendiri. Bukan dengki tau.

Okaylah. Sampai sini sahaja entri aku malam ni.
Sampai jumpa lagi 👋


Wednesday 10 October 2018

BBM3410/18 : Kisah Oktober 👻

Assalamualaikum dan salam sejahtera 😊

Hola pembaca yang masih setia membaca blog aku. Semoga Allah merahmati hidup kalian. 

Okay, satu lagi entri bebas. Perkongsian suka-suka kali ni tentang Oktober. Kenapa dengan Oktober ni ? Adakah aku tak suka bulan ni atau ada apa-apa peristiwa yang tak boleh aku lupa ?  Bukan ya. Tidak ada apa-apa pun seperti itu ya 😂

Pernah tak anda dengar yang bulan Oktober ni bulan hantu ? 👻 Hahaha Halloween lah kata orang putih. Jadi, aku teruja bila tengok dekat pasar raya mula jual benda-benda yang melambangkan Halloween ni.



Jadi, aku nak ambil kesempatan dalam bulan yang konon 'berpuaka' ni untuk kongsikan dengan pembaca blog aku berkenaan kisah seram mistik yang pernah terjadi dekat aku sepanjang 23 tahun aku hidup. Bukanlah aku nak cerita semua tau. Aku cerita sikit je*aku bukan rajin nak taip banyak-banyak ni.

Kisah seram aku yang paling aku tak boleh lupa adalah kisah nenek tua.


Kisah ni terjadi sekitar tahun 2012. Masa tu aku berada di tingkatan lima. Semuanya bermula pada malam sambutan hari lahir ahli keluarga Harun yang lahir pada bulan Oktober. Harun tu nama arwah datuk aku sebelah bapa*tapi dalam kes aku, ayah. Adik beradik ayah aku ni memang ramai yang lahir dalam bulan Oktober ni. Lima daripada tujuh orang. Tu belum termasuk dengan anak-anak mereka yang juga lahir dalam bulan yang sama. Aku tak faham betul kenapa boleh jadi macam tu. Sambutan ini diadakan di rumah aku dan semua pak cik mak cik aku yang datang dari Perak, Kuala Lumpur dan Singapura akan berkumpul di rumah aku di Melaka. Ayah kata mudah begitu sebab rumah aku yang paling besar. Cehh*sambil senyum herot. Aku tinggal di kawasan kampung. Tanah pusaka yang diwariskan kepada ibu aku. Malam kejadian, ramai dalam kalangan kami yang mengenakan baju t-shirt putih mengikut tema sambutan. Ruang tamu rumah sudah dihias dengan belon pelbagai warna. Memang meriah betul rumah aku malam tu. Nak dijadikan cerita, sedang aku memerhati keadaan persiapan majlis tu, aku terpandang Amirul, anak buah aku yang berumur 10 tahun. Aku nampak dia duduk dekat kerusi jari yang menghadap dekat luar sliding door rumah aku sambil bercakap dengan 'seseorang'. Aku pun bergerak menghampiri dia untuk tengoklah dengan siapa dia bercakap tu, kot-kotlah aku ni rabun teruk tak nampak. Dua minit aku pandang dia dan aku tengok luar, tiada sesiapa pun ! Tengok dia yang rancak sangat berbual tu, aku tanyalah;

"Hei, Mirul cakap dengan siapa tu?"

Dia pandang aku dan toleh semula dekat luar tu sambil tersenyum. Tiba-tiba dia bangun dan berjalan ke luar rumah macam tengah cari seseorang. Aku tanya dia lagi;

"Mirul cari siapa?" dan dia dengan selamba membalas;

"Kakak, mana nenek tadi? Tadi ada nenek and I was talking to her".

Amirul ni dari Singapura dan dia memang selalu cakap omputih. Mungkin sebab persekitaran dia macam tu kot. Berderau darah aku dengar dia cakap dengan nenek dan dalam hati aku dah cakap "Allah, nenek mana pulak yang cakap dengan kau ni". Aku yakinkan dia yang dia salah tengok. Tapi dia berkeras mengatakan;

"No, kakak. I saw her. She's wearing white dress and her hair panjang sangat!", dengan bersungguh-sungguh dia cerita.

Memikirkan yang dia mungkin nampak sesuatu yang dia tak patut nampak, aku bawa dia masuk dengan alasan majlis nak mula. Aku fikir dah tiada lagi gangguan. Tengah malam itu, aku terjaga bila terdengar suara mak ngah yang macam marah dekat seseorang. Aku ni sensitif dengan bunyi. Benda ni buat aku senang sangat terjaga. Rupanya, Mirul tu tengah meracau dan mak ngah tengah ubatkan dia. Dalam meracau tu, aku dengar dia cakap;

"Nenek tu panggil Mirul".

Setelah keadaan reda, aku ceritakan kisah tu pada mak ngah dan yang lain. Ayah dengan selambanya cakap;

"Dia nak tengoklah tu. Budak pun bukan pernah datang sini", sambil ketawa. Tak faham aku macam mana dia boleh ketawa pula.

Okay. Aku rasa sekian sahaja perkongsian aku kali ni.
Sampai jumpa lagi 👋

BBM3410/18 : Kisah mitos persahabatan

Assalamualaikum dan salam sejahtera ✌

Seperti biasanya, aku ni selalu mendoakan kesejahteraan para pembaca aku ni *😉 senyum semanis kurma untuk anda semua.

Untuk entri bebas kali ini, aku nak kongsi tentang mitos persahabatan. Aku rasa mesti ada dalam kalangan pembaca yang pelik dan hairan bercampur musykil, kenapa aku guna 'mitos' persahabatan. Biar aku beritahu satu persatu. Menurut PRPM, mitos ni ni bawa definisi cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutamanya yang mengandungi unsur atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu. Dalam bahasa yang mudah, mitos ni ialah cerita yang dianggap benar *aku ulang, ini apa yang aku faham ye. Persahabatan pula didefinisikan sebagai hal atau perbuatan bersahabat.


Pengenalan macam buat PITA 😂 okay ,okay. Aku serius. Aku cuma nak beritahu yang aku susah nak percaya dalam hal persahabatan ni. Pada aku, benda ni tahyul. Kerana keadaan aku yang selalu bertukar sekolah, aku tak jumpa insan yang boleh aku panggil sahabat. Bila tengok kawan-kawan satu kos aku jalan ramai-ramai, terdetik dekat hati kecil aku ni, aku nak macam tu jugak. Hahaha acah sedih. Tapi nak buat macam mana, aku ni jenis suka sorang-sorang. 

Walau bagaimanapun, aku ada sekuntum mawar berduri yang baik dengan aku. Satu-satunya mawar yang boleh hidup dengan aku walaupun tahu perangai aku ni entah apa-apa 🤣 bukan selalu aku manis macam ni. Hahahahaha

Okaylah. Sampai sini saja entri aku kali ni.
Sampai jumpa lagi 👋


BBM3410/18 : Kisah minggu kelima yang meletihkan

Assalamualaikum dan salam sejahtera ☺️

Aku harap pembaca yang sudi baca blog aku ni sihat belaka lah hendaknya. Yang tak baca blog aku tu, wallahua'lam *siapa suruh tak baca blog aku 😈 sambil gelak jahat hahahaha



Okay rakan pembaca sekalian. Hahaha acah formal lah konon. Minggu ni aku nak kongsi tentang flatlay. Haaa tahu tak flatlay tu apa ? Huh mestilah tahu ye dok ? Yang baca blog ni pun rata-rata ambil kelas Prof 😂

Anggaplah ini semua sebagai satu pengukuhan ye rakan-rakan. Tanpa membuang masa yang sudah pun terbuang *pening sekejap dengan bahasa sendiri, aku nak kongsikan apa yang Prof dah ajar.

Jenis flatlay ni ada 4; flatlay, half-flatlay, quarter flatlay dan zero flatlay.

1. Flatlay.


2. Half-flatlay.



 3. Quarter flatlay.



4. Zero flatlay.


Itulah empat jenis flatlay. Haaa harap bermanfaat lah ye. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, nak ambil gambar jenis flatlay ni bukan mudah. Bersama ini juga aku sertakan gambar-gambar sewaktu proses penghasilannya. 

Jeng jeng jeng...







Haaa. Nampak tak kesungguhan ahli kumpulan aku tu 😅
Okaylahhh. Sekian sahaja perkongsian aku dalam entri kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋

Wednesday 3 October 2018

BBM3410/18 : Kisah suka-suka


Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Hai semua. Aku harap pembaca yang baca blog aku ni dikurniakan kesihatan tubuh badan dan mental yang kuat untuk menghadapi hari-hari yang mendatang di muka bumi Allah ni. Semoga anda semua berada dalam lindungan Dia yang Maha Kuasa. 

Perkongsian kali ini adalah perkongsian bebas. Sejujurnya dari lubuk hati aku yang paling dalam, aku betul-betul tak tahu apa yang patut aku kongsikan dalam blog ni. Jadi, aku ambil keputusan untuk kongsikan tentang kelas aku yang lepas. 



Kelas yang aku pilih ialah kelas Keterampilan Berbahasa Melayu yang diajar oleh Prof. Madya Dr. Norazlina binti Haji Mohd Kiram. Kenapa aku pilih untuk kongsikan tentang kelas ni ? Aku rasa kelas ni agak menarik walaupun ada bahagian yang aku kurang selesa dalam kelas ni, tapi aku pilih untuk redah je.

Kelas Keterampilan Berbahasa Melayu ni mengajar aku tentang bagaiman seseorang itu seharusnya mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kehidupan seharian. Dalam kelas ni, Dr. minta kami, para pelajar untuk selalu bercakap, menjadi juri awam dalam pembentangan dan jangan takut untuk melontarkan idea atau pendapat. Aku seronok dalam kelas ni kecuali apabila aku perlu bercakap dengan kuat kerana pada aku, aku tak perlu buat macam tu 😒 *buat muka macam bagus. Tapi, apa-apa pun, kelas ni menyeronokkan 👍

Okay, sampai sini sahaja entri aku kali ni.
Sampai jumpa lagi 👋


BBM3410/18 : Kisah minggu ketiga


Assalamualaikum dan salam sejahtera 😊


Okay, kali ni aku nak kongsi dengan pembaca blog aku ni tentang Pesta Makanan Tradisional *kalau adalah yang sudi baca 😏.



Pesta Makanan Tradisional ni telah berlangsung pada 25 September 2018 yang lalu dan telah diadakan selama satu hari sahaja. Bertempat di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, *ehemmm fakulti aku 😄, Pesta Makanan Tradisional ini telah mendapat liputan daripada TV3. Bukan biasa-biasa punya pesta tau 😂.




Perkongsian kali ini, kisahnya adalah tentang tugasan yang Prof. beri *aku bukan suka sangat pergi pesta macam ni. Jadi, oleh kerana aku perlu selesaikan tugasan fotografi ni, aku pun dengan paksa rela, hadirkan diri aku ke Pesta Makanan Tradisional tu. Mesti andasemua nak tahu apa tugasan yang Prof. beri, bukan ?? jeng jeng jeng. Aku dan kawan-kawan aku perlu ambil sepuluh gambar sebagai bukti yang kami hadir ke pesta itu. Memanglah sepuluh tu terdengar macam sikit, tapi aku yang ramai kawan perempuan ni, angka 10 tu betul-betul macam bencana buat aku. Hal ini disebabkan aku perlu ambil gambar mereka yang bukan mudah berpuas hati dengan hanya sepuluh gambar 😓 Pengakhirannya, dari berpuluh-puluh gambar yang aku ambil, gambar aku cuma ada lima sahaja 😆 Tapi, aku tetap berjaya menyelesaikan tugasan ini dengan jayanya *cewahhh.



Jadi, sampai sini sahajalah entri aku kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋


BBM3410/18 : Kisah Minggu Keempat



Asssalamualaikum dan salam sejahtera semua :)
Okay, mari teruskan dengan minggu keempat. Minggu ni, Prof. ada seminar di negara Temasik. Alahai, takkan anda semua tak tahu negara Temasik tu negara apa *gelak guling-guling. Singapura ye rakan-rakan. 
Jadi, kami semua telah diberi tugasan yang mesti disiapkan secara individu. Ada dua soalan yang Prof, beri dan soalannya adalah :
Berikan persepsi anda tentang jenis-jenis media sosial / media teknologi yang terdapat dalam bab 1 buku BOOM (minima 100 patah perkataan, maksima 150 patah perkataan)
Pilih salah satu media sosial/ media teknologi tersebut (bab 1) dan bincangkan (minima 100 dan maksima 150 patah perkataan) bagaimana anda menggunakan teknologi tersebut dalam pembelajaran di universiti.
Tugasan individu ni perlu diselesaikan dalam masa yang Prof. dah tetapkan. Arahan yang Prof. beri ni pada aku sangat ringkas dan mudah. Tapi, entah macam mana aku boleh buat keputusan sendiri. Bak kata orang kampung tu "memandai-mandai yo". Aku tak dapat nafikan tabiat aku untuk taip sesuatu ikut benda yang aku biasa tengok. dalam arahan tu, Prof. suruh letak bbm3410, tapi disebabkan aku ni terlebih bijak, aku pergi letak BBM3410 *tepuk dahi. Lepas tu, berbekalkan keyakinan yang begitu tebal dalam hati aku, aku pun emelkan tugasan tu pada Prof. tepat jam 2.09 petang.

Bila malamnya Prof. beritahu emel siapa yang dia terima, aku hanya mampu berhuhu mengenangkan nasib yang aku sudah hilang MUNGKIN 10 markah. Aku ulang lagi sekali, MUNGKIN. Boleh jadi lebih, dan boleh jadi kurang. 

Jadi, marilah sama-sama mendoakan aku untuk jadi lebih tabah dalam menempuh kelas Prof. dimasa akan datang.

Sekian sahaja entri aku untuk kali ni.
Sampai jumpa lagi 👋



Wednesday 26 September 2018

BBM3410/18: Kisah minggu kedua .

Assalamualaikum dan salam sejahtera 😊

Okay. Untuk entri kali ini, apa yang aku nak kongsikan dengan pembaca adalah berkenaan Asas Grafik 📽️

Asas Grafik ni ada lima.
1. Kesesuaian.
2. Keseimbangan.
3. Mudah.
4. Teks.
5. Warna.

Kuliah kali ini, aku dan kumpulan aku telah diarahkan untuk menghasilkan satu folio yang menggambarkan Asas Grafik 📽️ yang telah diajar oleh Prof. Berbekalkan mounting board sebanyak 6 keping, glue stick, gunting, reben dan majalah, kami memulakan projek ini. 
Hasilnya. . .




                     



Hahaha 😅 
Sila abaikan muka aku yang entah apa-apa tu ya. Itulah hasil kerja kumpulan kami. Memandangkan hasilnya tidak begitu memuaskan, maka dapatlah kami satu bintang. 🤣*Sambil ketawa, aku cakap jadilah satu daripada langsung tak dapat bintang.

Sekian sahaja entri aku kali ni.
Sampai jumpa lagi 👋


BBM3410/18: Kisah minggu pertama .

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hahahaha
Mari mulakan entri kali ini dengan salam Dan senyuman (anggaplah aku hahaha tu sambil senyum). Teruk betul aku entri sebelum ni salam pun aku tak beri. Aku harap pembaca semua sihat belaka supaya bolehlah baca blog aku ni 😊 *senyum ikhlas.

Okay. Kali ini, aku nak cerita kisah kuliah minggu pertama aku. Sebenarnya, minggu pertama di universiti ni belum mula belajar sangat pun. Tidak dinafikan ada pensyarah yang berkaliber sudah pun memulakan kuliah mereka, tetapi rata-ratanya tidak berbuat demikian kerana masih ada pelajar yang belum mendaftar. Ini tidak termasuk dengan cuti yang banyak pada bulan September 😅

Okay, okay dan okay. Minggu pertama, bagi subjek BBM3410 Multimedia dalam Bahasa, subjek yang menyebabkan terwujudnya blog aku ni 🤣, Prof. Dr. Normaliza binti Abd Rahim, pensyarah untuk subjek ni telah memberi penerangan ringkas tentang subjek yang diajar. Ini termasuklah rangka kursus, projek yang perlu kami buat dan apa yang bakal aku belajar dalam subjek ni.

Sejujurnya, aku berasa sangat teruja untuk belajar subjek ni. Aku tak pernah dapat peluang untuk belajar dengan Prof. ni. Aku baru tahu yang Prof. ni seorang yang serius. Dalam percakapan dia yang kelakar tu, ada terselit ketegasan di situ. Aku mengaguminya.

Sekian sahaja perkongsian aku kali ini.
Sampai jumpa lagi 👋


BBM3410/18: Segalanya bermula di sini .

Nama aku Hidayah.
Nur Hidayah binti Mazlan.
Tapi, kawan-kawan aku dekat sini panggil aku Dee. Aku pelajar semester 7, Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu di Universiti Putra Malaysia. Ini tahun terakhir aku sebagai siswazah di sini.

Aku berasal dari Jasin, Melaka. Aku dilahirkan dan menetap di sana sejak lahir. Aku anak sulung daripada empat adik-beradik. Aku ada dua orang adik lelaki dan seorang adik perempuan. Kedua ibu bapa aku bekerja sebagai guru tapi ayah aku sudah bersara pada tahun 2016 yang lalu.

Jadi, inilah serba sedikit kisah aku. Aku buat blog ini pun sebab aku kena buat. Hahaha. Semester akhir ni lah macam-macam kerja pelik yang aku perlu buat. Walau bagaimanapun, aku harap aku dan  kawan-kawan aku dapat habiskan ijazah kami dengan jayanya.

Sampai jumpa lagi.

BBM3410/18 : Video Tanpa Wajah

Assalamualaikum dan salam sejahtera ✌ Yeayyyyy akhirnya aku berjaya sampai ke perkongsian yang terakhir ni. Aku ni bukan apa, teruja se...